Friday, February 27, 2009

Pelepasan cukai pelabur dana amanah persaraan.

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Persekutuan Pengurus-Pengurus Saham Amanah Malaysia (FMUTM) berharap kerajaan akan menawarkan pelepasan cukai kepada pelabur unit amanah persaraan dan mengurangkan had layak melabur untuk pencarum KWSP.


Presiden FMUTM Tunku Datuk Ya'acob Tunku Abdullah berkata, langkah itu, selain mengembangkan industri unit amanah tempatan, ia juga dapat membantu pencarum yang bersara menikmati kehidupan lebih baik.


``Berdasarkan kajian FMUTM, sekiranya seseorang itu berkerja dengan gaji sebanyak RM2,000 sebulan, beliau mengambil masa selama 19 tahun untuk layak melabur dengan skim pelaburan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).


``Bayangkan singkatnya masa yang ada selama 16 tahun menjelang persaraan, biarpun seseorang itu mula berkerja pada usia sekitar 20 tahun, kata beliau selepas melancarkan sistem maklumat pelaburan melalui internet FMUTM atau bernilai hampir RM1 juta di sini hari ini.


Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Eksekutif FMUTM Kathy Tan dan juga Naib Presiden FMUTM, Paul Low.


Pada masa ini, para pencarum KWSP hanya layak melabur dalam dana-dana amanah di bawah skim pelaburan firma dana pencen itu dari 20 peratus berdasarkan baki asas mengikut umur kelayakan.


Sambil mengakui pelaburan dalam unit amanah juga berisiko tetapi menawarkan pulangan tinggi, beliau berkata, pencarum juga tidak boleh mengharapkan caruman KWSP sahaja untuk menampung persaraan mereka kerana ia tidak mencukupi.


Tunku Ya'acob berkata, golongan muda patut dibenarkan menyertai skim itu lebih awal kerana mereka juga kurang melabur apabila mula berkeluarga.


Beliau juga menambah, pemberian insentif dan liberalisasi industri dana pencen akan membantu industri unit amanah berkembang dan tumbuh untuk menyokong ekonomi negara seperti mana industri dana pencen di Amerika Syarikat.


Tunku Ya'acob berkata, pada masa ini hanya 3 peratus daripada dana KWSP dilaburkan dalam industri unit amanah tempatan.


Mengulas perkembangan industri unit amanah, beliau berkata, industri itu terus mengalami pertumbuhan positif.


``Industri ini terus berada dalam kedudukan untuk mencapai sasaran nilai aset bersih sebanyak 40 peratus daripada permodalan Bursa Malaysia pada tahun 2020,'' kata beliau.


Sehingga 30 Jun 2004, terdapat 36 buah syarikat pengurus unit amanah beroperasi dengan dana yang diluluskan berjumlah 273 buah manakala saiz dana yang diluluskan 203.87 bilion unit dan unit dalam edaran 106.12 bilion.


Mengenai cadangan penjualan unit amanah secara dalam talian yang cuba diperkenalkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC), Tunku Ya'acob berkata, FMUTM telah memberikan maklum balas yang positif kepada SC.


``Perkara itu juga sedang dibincangkan oleh para pemain dalam industri unit amanah tempatan,'' kata beliau. Mengulas mengenai i3, Tunku Ya'acob, berkata, sistem itu menawarkan maklumat awam mengenai industri unit amanah termasuk harga unit, selain menentu sahkan penggiat dalam industri berkenaan dan menyelesaikan operasi belakang FMUTM.

No comments: