Wednesday, February 25, 2009

OPR: BNM kurangkan 50 mata asas

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengurangkan lagi Dasar Kadar Semalaman (OPR), penanda aras utama kadar faedah, sebanyak 50 mata asas kepada dua peratus.

Dengan pengumuman itu, kadar tertinggi dan terendah pergerakan OPR masing-masing diturunkan kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.

Ini merupakan kali kedua BNM mengumumkan penurunan OPR selepas 20 Januari lalu yang menyaksikan pengurangan kadar faedah sebanyak 75 mata asas kepada 2.50 peratus.

Pada masa sama, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Keperluan Rizab Berkanun (SRR) juga diturunkan daripada dua peratus kepada satu peratus mulai 1 Mac ini bertujuan untuk mengurangkan lagi kos pengantaraan.

BNM berkata, persekitaran ekonomi dan kewangan antarabangsa bertambah buruk pada suku tahun baru-baru ini.

Katannya, ekonomi negara perindustrian utama sedang mengalami kemelesetan ekonomi yang semakin teruk, manakala pertumbuhan ekonomi negara serantau pula menjadi perlahan dengan ketara.

Aktiviti perdagangan, pengeluaran dan pelaburan di rantau Asia telah terjejas dengan ketara akibat kemerosotan mendadak permintaan global.

''Kemelut pasaran kewangan antarabangsa juga semakin berlarutan walaupun banyak negara telah melaksanakan langkah-langkah rangsangan untuk menangani kelembapan ekonomi, hasil yang diharapkan masih belum dicapai,'' kata Bank Pusat.

BNM berkata, risiko terhadap prospek ekonomi global yang lebih rendah juga semakin meningkat.

Tambahnya, akibat daripada itu ekonomi Malaysia telah terjejas dengan ketara oleh perkembangan global.

''Eksport dan pengeluaran perindustrian negara telah menguncup dengan nyata, sementara aktiviti pelaburan swasta menjadi semakin perlahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila perusahaan perniagaan bertindak untuk mengurangkan perbelanjaan mereka.

''Sentimen pengguna turut terjejas oleh keadaan pasaran pekerja yang semakin lemah. ''Oleh itu, keadaan ekonomi dalam negeri dijangka terus mencabar dalam suku-suku yang akan datang atas sebab kemelesetan ekonomi global dijangka berlarutan,'' kata BNM.

Katanya, sungguhpun perkembangan tersebut meningkatkan risiko kemerosotan ekonomi negara pada tahun ini, prospek pemulihan ekonomi kekal teguh apabila keadaan global menjadi stabil, kerana negara tidak menanggung beban hutang yang tinggi.

Di samping itu, ia mempunyai sistem kewangan yang kukuh dan kedudukan luaran yang memuaskan, tambahnya. Dengan trend inflasi yang menurun, kata BNM, dasar makroekonomi akan dijuruskan ke arah menyokong permintaan dalam negeri sehingga ekonomi global menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Langkah-langkah tambahan akan diperkenalkan olehnya bagi memastikan akses kepada pembiayaan akan berterusan dan kesan kelembapan ekonomi terhadap golongan tertentu yang terjejas akan dapat dikurangkan, katanya lagi.
sekian

No comments: