Tuesday, February 17, 2009

Benarkah pelaburan Unit Amanah pelaburan yang selamat?

Unit amanah adalah seperti pelaburan-pelaburan lain, di mana prestasi adalah ditentukan oleh keadaan pergerakan pasaran yang berubah-ubah. Bagi mengimbangi kesan kuasa dan ketidaktentuan pasaran, pengurus unit amanah selalunya mengamalkan kaedah meminimumkan risiko pelaburan dengan cara meluaskan tebaran risiko di mana komponen portfolio dana amanah adalah dipelbagaikan untuk meliputi serangkaian luas pelaburan aset dan corak pelaburan. Kepelbagaian kadang-kala meliputi campuran kelas- kelas aset seperti saham, bon-bon dan instrumen pasaran wang. Sekiranya terdapat sebarang kejatuhan aset tertentu, kenaikan harga dan nilai aset lain dapat menampung kerugian tersebut.

Patutkah saya menggunakan wang pinjaman dari institusi kewangan untuk menambah kuasa melabur?

Elok sekiranya kos meminjam adalah rendah. Namun ia boleh memberi masalah apabila kos meminjam meningkat berbanding pulangan dividen dan bonus yang diterima. Unit amanah sinonim sebagai satu skim tabungan jangka panjang, oleh itu tabungan yang konsisten secara bulanan atau suku tahunan adalah wajar, walaupun dalam jumlah yang kecil; “Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit”.

Boleh jelaskan penggunaan harga belian/jualan dan ‘NAB’ yang tertera di media.

Harga yang dipaparkan ialah harga beli/jual bagi pihak pengurus dana kepada pemegang unit/pelabur seperti anda. Oleh itu, harga belian yang tertera (bid) ialah harga yang anda gunakan untuk menjual unit, manakala harga jualan (offer) ialah harga di mana anda membeli unit. Nilai Aset Bersih (NAB) ialah nilai kesemua aset dana ditolak keseluruhan tanggungan dana pada satu-satu masa penilaian , manakala NAB seunit pula ialah NAB dana itu yang dibahagi dengan jumlah bilangan unit dalam edaran pada masa penilaian. Angka ini penting kerana ia diguna sebagai panduan untuk menentukan harga belian dan jualan yang dikira setiap hari oleh Pengurus pada penutup hari perniagaan Bursa.

Apabila saya ingin menjual unit-unit pelaburan, adakah saya perlu menunggu sehingga wujud pelabur yang ingin membeli?

Tidak. Pengurus dana ialah pihak yang akan membeli semula unit-unit anda, mengikut terma dan syarat yang terkandung dalam prospektus sesuatu dana itu.

Apakah yang patut saya lakukan sekiranya pasaran saham menjunam?

Harga saham akan sentiasa turun atau naik kerana ini adalah lumrah pasaran, namun pada jangkamasa sederhana ke panjang ia akan naik. Anda tidak perlu lakukan apa-apa, harungi keadaan tersebut atau sekiranya berkemampuan tambah pelaburan sewaktu pasaran menampakkan kestabilan. Seperti yang sering disarankan, pelaburan unit amanah adalah untuk tempoh jangka sederhana/panjang.

Adakah dana bon Islam hanya pada nama? Saya berpendapat ia masih bersekongkol dengan riba’ kerana mendapat hasil coupon rate yang tetap.

Bon Islam ialah instrumen kategori sekuriti pendapatan tetap yang merujuk kepada pinjaman yang diberi oleh pembeli bon kepada pihak yang menerbitkannya. Konsep ini sama dengan operasi bon konvensional dimana peminjam akan mendapat bayaran berkala beserta keuntungan. Namun prinsip yang digunapakai ialah berlunaskan syariah dan kita mempunyai pelbagai pilihan cara terbitan seperti ‘Murabahah’, ‘Musyarakah’, ‘BBA Islamik’, ‘Bai Inah’, ‘Bai Al-Dayn’, ‘Sukuk Istisnaa’ ' dan ‘Sukuk Ijarah’. Penerangan tentang prinsip dan cara terbitan Bon Islam secara mendalam akan dibentang dalam siri akan datang.

sekian.

No comments: