Tuesday, February 24, 2009

Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) lebih aktif di Sabah

Utusan Malayisa 24/02/09
SABAH 23 Feb. - Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB) yang baru memulakan operasinya di Sandakan, Sabah, mahu memainkan peranan aktif dalam meneroka pasaran ekuiti dan hutang untuk perniagaan dan industri domestik serta antarabangsa negeri itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Zukri Samat berkata, matlamat tersebut seiring dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Sabah sebagai pusat pembangunan serantau di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Menurut beliau, bank itu sangat komited untuk memenuhi pertumbuhan serta kehendak produk dan perkhidmatan perbankan Islam di negeri tersebut.

''Kami telah mendapat maklum balas penduduk setempat yang mahukan perkhidmatan perbankan Islam penuh dan menyebabkan kami mengambil keputusan untuk membuka di Sandakan,'' katanya di sini.

Selain itu, dengan membantu menyediakan pasaran produk dan perkhidmatan Syariah, BIMB dapat memainkan peranan untuk meningkatkan matlamat kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam, tambah beliau.

Zukri berkata, dengan pembukaan cawangan baru itu, penduduk di Sandakan dijamin akan ditawarkan perkhidmatan progresif dan inovatif.

Beliau menambah, cawangan BIMB di Sandakan akan menawarkan perkhidmatan dan produk penuh Syariah kepada pelanggan individu dan usahawan, antaranya pembiayaan rumah, peribadi, kad kredit dan perkhidmatan pengurusan kekayaan.

Tambah Zukri, cawangan terbarunya itu juga dilengkapi dengan terminal perkhidmatan layan diri bagi kemudahan transaksi perbankan.

BIMB cawangan Sandakan itu terletak di Lot 1&2, Lot 23, Bandar Indah, Batu 4, Jalan Utara Sandakan dan beroperasi mulai pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang dari hari Isnin hingga Jumaat.

Dalam pada itu, Zukri berkata, BIMB yang kini memiliki dua juta pelanggan seluruh negara akan terus meluaskan operasinya khusus di bandar-bandar utama di negara ini.
sekian.

No comments: