Tuesday, February 17, 2009

Dana Amanah Islam terus popular

SEJAJAR dengan permintaan umat Islam yang menginginkan dana-dana yang mematuhi prinsip-prinsip syariah Islam, unit amanah Islam mula wujud di Malaysia sekitar tahun 90-an. Ianya dimulakan oleh sektor swasta melalui pengenalan Dana AmIttikal pada tahun 1993, dan Amanah Saham Bank Islam Tabung Pertama (kini dikenali sebagai ASBI Dana Al-Mubin ) pada tahun berikutnya. Sejak itu, unit amanah berasaskan prinsip Islam terus popular hingga kini dengan banyak dana-dana berlandaskan syariah dilancarkan oleh pengurus-pengurus dana di Malaysia.

Dana-dana Islam di Malaysia kini telah mencapai 85 buah, merangkumi jenis portfolio ekuiti, pasaran kewangan dan bon dengan nilai aset bersih (NAB) yang mencecah RM8.6 bilion. Walaupun jumlah ini cuma 8.4 peratus dari NAB industri, ia adalah satu pencapaian amat memberangsangkan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini dengan kadar pertumbuhan tahunan segmen unit amanah Islam ialah 26.6 peratus berbanding pertumbuhan 8.4 peratus keseluruhan industri.

Dana-dana Islam kini boleh dikatakan bukan lagi sekadar untuk menwujudkan pilihan bagi kelompok Islam sahaja apabila ia turut menarik minat sebahagian besar pelabur bukan Islam. Dilaporkan lebih separuh dari jumlah unit-unit amanah Islam yang ditawarkan ke pasaran telah dibeli oleh pelabur bukan Islam. Permintaan pasaran yang mantap terhadap produk kewangan Islam ini adalah kerana ia kini ialah pilihan pelaburan yang berdaya saing dengan pulangan yang dihasilkan adalah setara dan kadang-kala jauh lebih baik dari unit-unit konvensional.
Operasi dan Cara Fungsi

Umumnya operasi dan cara fungsi unit amanah Islam adalah mirip unit amanah konvensional yang telah berkembang sekian lama sejak seawal kurun ke 19. Yang membezakannya ialah jenis portfolio halal yang dipegang. Pengurusan dana-dana Islam turut dibezakan dengan peranan yang dimainkan oleh panel-panel syariah, yang senantiasa bekerjasama dengan pihak pengurus dalam membantu memastikan tindakan pelaburan dan pengurusan dana selaras dengan prinsip-prinsip syariah Islam.

Hubungan antara ketiga-tiga pihak ini dijelaskan melalui satu dokumen perundangan yang dipanggil Suratikatan, yang menggariskan tanggungjawab dan hak setiap pihak yang terlibat. Suratikatan ini juga turut menyatakan secara terperinci bagaimana unit amanah itu harus beroperasi dan diuruskan, serta bagaimana cara menentukan kadar bayaran yuran.

Operasi saham amanah dimulakan dengan hebahan prospektus setelah mendapat kelulusan dari pihak berwajib. Penawaran terhadap sesuatu dana pelaburan dibuat dan dibahagikan dalam bentuk unit-unit. Setiap unit adalah pecahan hakmilik pelaburan dalam portfolio pelaburan dana tersebut. Unit-unit amanah tersebut dijual oleh pihak pengurus dana secara terus atau melalui agen kepada para pelabur menerusi jual beli secara tunai.

Modal pelaburan dari para pelabur ini disalurkan melalui pengurus dana, di mana ia akan didepositkan ke dalam akaun bank pemegang amanah. Pengurus akan melaburkan wang dalam tabung dana ini ke dalam satu jenis atau kombinasi pelaburan terpilih yang mengandungi sama ada saham-saham, bob-bon dan instrumen-instrumen pasaran wang, atau kelas-kelas aset yang lain. Pengurus akan meminta pemegang amanah supaya membuat bayaran kepada broker-broker saham dan juga institusi kewangan bagi pelaburan yang dilakukan itu. Kesemua aset dan sekuriti yang dibeli akan didaftarkan di atas nama pemegang amanah. Langkah itu merupakan satu pelindungan daripada segi perundangan yang bertujuan memisahkan aset pengurus dengan aset dana unit amanah. Dengan kata lain, pengurus menyediakan kepakaran teknikal manakala pemegang amanah pula menjaga kesemua aset bagi pihak para pelabur.

Pengurus dana Islam hanya akan melabur tabung dana dalam portfolio pelaburan yang halal dan sebagaimana garis panduan panel syariah pengurusan dana, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan surat ikatan dana berkenaan. Kesemua pelaburan dan aktiviti dana unit amanah Islam akan diawasi oleh panel Syariah pihak pengurus dana. Panel Syariah ini turut menasihati dan mengawasi perjalanan syarikat dan dana dari aspek transaksi dan pengurusan agar ia selari dengan kehendak Syariah.

Apabila satu unit amanah itu dibeli, berlaku perkongsian pemilikan aset dana antara pelabur dan masing-masing layak untuk menikmati sebarang manfaat yang bakal dihasilkan oleh dana. Kebiasaannya pada setiap akhir tahun kewangan dana, akan terdapat pulangan pelaburan unit amanah dalam bentuk agihan pendapatan tahunan yang sama rata kepada setiap unit setelah ditolak perbelanjaan-perbelanjaan yang dibenarkan. Agihan pendapatan ini dibuat secara tunai, atau dalam bentuk unit-unit tambahan


Sekian.

No comments: