Wednesday, March 11, 2009

Tiada jualan panik dalam industri saham amanah - FMUTM

KUALA LUMPUR 11 Mac - Industri saham amanah tempatan masih belum berdepan dengan tindakan jualan panik oleh para pelabur meskipun persekitaran ekonomi negara termasuk global dilihat semakin sukar.
Presiden Persekutuan Presiden Persekutuan Pengurus Saham Amanah Malaysia (FMUTM), Tunku Datuk Ya'acob Abdullah berkata, sehingga kini kadar penebusan saham amanah tempatan masih berada di paras normal.
''Sehingga bulan Mac ini, kadar penebusan saham amanah tempatan masih berada pada paras biasa iaitu sekitar dua peratus setiap bulan,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis penganugerahan Dana Morningstar, di sini hari ini.
Menurutnya, ini dapat dilihat daripada jualan bersih saham amanah bagi tempoh 10 bulan tahun lalu adalah sekitar RM18 bilion.
''Meskipun perangkaan terbaru bagi keputusan keseluruhan untuk tahun lalu belum lagi diumumkan lagi tetapi saya yakin angka tersebut tidak berubah banyak,'' jelasnya. Selain itu, Ya'acob optimis terhadap masa depan industri saham amanah tempatan pada tahun ini meskipun indeks komposit di Bursa Malaysia stabil pada paras 850 mata.
Namun, beliau mengakui bahawa nilai aset bersih (NAB) saham amanah dijangka mengalami penurunan pada tahun ini, tetapi memberi jaminan ia tidak menurun pada kadar yang membimbangkan. Katanya, pada akhir tahun 2008, NAB menurun sebanyak 20 peratus atau bernilai RM34 bilion kepada RM169 bilion berbanding RM43 bilion pada tahun 2001. ''Penurunan ini tidaklah ketara sebagaimana yang yang telah berlaku terhadap industri komoditi dan pasaran saham tempatan,'' terangnya.
Sementara itu, tujuh saham amanah terpilih untuk memenangi Anugerah Dana Morningstar 2008 yang mana bagi kategori ekuiti dimenangi oleh ASM Dana Al-Aiman, Pacific Dividen Fund dan AUTB Progress Fund.
Bagi kategori pendapatan tetap pula, empat unit saham telah dipilih iaitu MAAKL Bond Fund, Public Islamic Bond Fund, RHB Mudharabah Fund dan Pacific Income Fund.
Sekian.

No comments: