Wednesday, May 20, 2009

Public Mutual- Pengurus Dana Terbaik di Malaysia.


Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual memenangi anugerah AsianInvestor bagi “Pengurus Dana Dalam Negara Malaysia Terbaik” bagi 2 tahun berturut-turut. Pengerusi Public Mutual, Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Teh Hong Piow menerima anugerah tersebut daripada Cik Rebekka Kristin, Penerbit Bersekutu bagi AsianInvestor di Malam Anugerah Tahunan Public Mutual yang diadakan pada 17 Mei 2009 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Kuala Lumpur. AsianInvestor yang berpejabat di Hong Kong, merupakan sebuah penerbitan yang terkemuka di industri pengurusan aset rantau Asia Pasifik.
Anugerah Prestasi Pelaburan AsianInvestor tersebut mula diperkenalkan di tahun 2001 bagi menyambut kecemerlangan prestasi pelaburan pengurus-pengurus dana di Asia Pasifik. Menurut Cik Kristin, Public Mutual dinamakan Pengurus Dana Dalam Negara Malaysia Terbaik” kerana kebingkasan prestasinya di tahun yang penuh dengan pergolakkan kewangan. “Anugerah ini mengakui pencapaian cemerlang setiap ahli Public Mutual yang berusaha kuat dalam industri yang amat mencabar bagi masa kini,” kata Cik Kristin.
Sementara itu, Tan Sri Teh meluahkan perasaan bangga bahawa Public Mutual sekali lagi menerima pengiktirafan antarabangsa ini, yang merupakan anugerah industri ke-135 yang dimenangi oleh syarikat tersebut sejak tahun 1999. “Anugerah yang berprestij ini membuktikan komitmen Public Mutual yang berterusan dalam memberi nilai yang tertinggi serta sentiasa berusaha memenuhi pelbagai keperluan pemegang-pemegang unit kami,” kata beliau. Beliau mendedikasikan anugerah tersebut kepada lembaga pengarah, badan pengurusan, kakitangan dan perunding-perunding unit amanah Public Mutual atas dedikasi dan usaha gigih mereka dalam menjadikan syarikat tersebut pemimpin dalam industri.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pemegang-pemegang unit atas sokongan kuat dan keyakinan yang berterusan terhadap Public Mutual. Public Mutual merupakan syarikat unit amanah swasta yang terbesar di Malaysia, menguruskan sebanyak 69 dana. Syarikat tersebut mempunyai seramai lebih 2,000,000 pemegang akaun yang diservis oleh seramai lebih 42,500 perunding unit amanah. Pada 8 Mei 2009, jumlah nilai aset bersih dana yang diuruskan oleh syarikat tersebut adalah sebanyak RM27.4 bilion.
p/s : Tahniah buat semua perunding Unit Amanah Public Mutual..

No comments: