Monday, June 15, 2009

Panduan Perancangan Kewangan Untuk Ibu Tunggal


Sebagai ibu tunggal, anda mempunyai beban kewangan yang sama seperti orang lain - cuma anda tidak mempunyai pasangan untuk berkongsi bebanan tersebut. Disebabkan anda terpaksa menyara keluarga dan diri sendiri secara berseorangan, amat penting bagi anda membuat keputusan kewangan yang bijak. Dengan mengguna pakai beberapa petua yang di diberikan di sini, anda akan lebih yakin dalam menangani masa depan kewangan keluarga anda.

Belanjawan


Setiap orang, tidak kira sama ada bujang atau sudah berkahwin, perlu merancang belanjawan bagi pengurusan pendapatan yang lebih baik lagi. Walau bagaimanapun, sekiranya anda seorang ibu tunggal, keperluan merancang belanjawan adalah lebih besar lagi kerana pendapatan anda seorang perlu disalurkan kepada pelbagai perbelanjaan. Oleh itu, lebih penting anda bersikap teliti dalam membelanjakan pendapatan. Ibu tunggal perlu mempunyai perancangan belanjawan seisi rumah dan berdisiplin dalam mematuhi belanjawan tersebut.

Buat Perancangan Tabungan dan Mula Melabur


Apabila membuat belanjawan isi rumah, jangan lupa untuk menyediakan peruntukan setiap bulan untuk perancangan tabungan. Perancangan ini ada kala dipangg
il sebagai "membayar diri sendiri dahulu", iaitu memasukkan sejumlah wang untuk diri sendiri dalam senarai perbelanjaan bulanan. Tabungan ini perlu dimasukkan dalam bentuk pelaburan yang kurang risiko kerana, sebagai ibu tunggal, anda tidak boleh mengambil terlalu banyak risiko kerana andalah sahaja yang menyara keluarga.

Tingkatkan Celik Kewangan


Kesilapan terbesar yang mungkin dilakukan oleh wanita ialah jahil mengenai perkara-perkara yang membabitkan perancangan kewangan. Didiklah diri sendiri dengan menghadiri seminar dan bengkel termasuk yang membincangkan mengenai bijak melabur dan merancang kewangan. Ini untuk memastikan supaya anda berada di landasan yang betul ketika membuat keputusan kewangan yang berdasarkan maklumat.

Sediakan Simpanan Darurat


Sebagai ibu tunggal, lebih penting kini bagi anda mempunyai persediaan "darurat", iaitu simpanan yang cukup untuk perbelanjaan hidup selama beberapa bulan. Sesetengah pa
kar kewangan mencadangkan supaya, selain tabungan sedia ada, sediakan juga simpanan yang cukup untuk perbelanjaan hidup selama sekurang-kurangnya tiga bulan bagi persediaan sekiranya berlaku sesuatu, umpamanya, anda kehilangan pekerjaan. Laburkan wang ini dalam pelaburan yang kurang berisiko atau unit amanah yang boleh anda tunaikan dengan mudah sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Persediaan darurat lain yang juga penting ialah insurans, terutama insurans kesihatan dan kehilangan upaya. Dan sekiranya anda sumber utama yang menyara pendidikan anak-anak, anda perlu memastikan supaya insurans yang diambil mencukupi untuk membiayai pendidikan anak-anak.

Mulakan Perancangan Persaraan


Akan sampai masanya ibu tunggal pun mesti bersara. Oleh itu, penting bagi anda memulakan perancangan persaraan tanpa mengira berapa usia anda sekarang. Wanita patut mengambil kira jangka hayat mereka ketika membuat perancangan persaraan memandangkan ada statistik yang menyatakan bahawa wanita mempunyai jangka hayat lebih panjang daripada lelaki. Yang paling baik dilakukan ialah mulalah menabung dan melaburkan wang dengan bersungguh-sungguh mulai sekarang

Anak dan Wang


Didik anak anda mengenai wang, iaitu bagaimana wang boleh menaikkan semangat orang, bagaimana wang memerlukan kita membuat pilihan, dan bagaimana wang boleh menghalakan kita ke jalan yang salah jika kita tidak berhati-hati mengendalikannya. Anak-anak kepada ibu tunggal selalu mempunyai perasaan takut memikirkan apa akan jadi kepada mereka sekiranya ibu mereka sudah tiada lagi. Terangkan kepada anak anda mengenai perancangan kewangan anda, pelaburan anda dalam unit amanah, insurans, harta atau wasiat. Semua maklumat ini boleh memberi keyakinan kerana dapat mendidik anak-anak anda tentang betapa pentingnya membuat perancangan kewangan untuk masa depan.

Kesimpulannya, sebagai ibu tunggal, anda perlu mempunyai perancangan kewangan supaya anda dan anak-anak anda mempunyai masa depan yang lebih baik. Jika anda belum lagi mempunyai perancangan kewangan, sekaranglah masanya untuk mula membuat perancangan. Mulakan sekarang! Jangan berlengah lagi demi kepentingan mereka yang tersayang!


untuk Sebarang nasihat dan pandangan, hubungi 013-8291013


Sekian.

No comments: