Katanya, tidak termasuk pembayaran sagu hati berkenaan, keuntungan operasi bersih kumpulan mengukuh sebanyak tiga peratus berbanding tempoh sama 2008. "Ia dicapai walaupun berdepan persekitaran operasi mencabar dan kesan negatif ke atas margin faedah bersih akibat pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) antara November 2008 dan Februari 2009 berjumlah 1.5 peratus," katanya. Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek pada taklimat media keputusan kewangan kumpulan perbankan itu di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Ketua Pegawai Operasinya, Leong Kwok Nyem.
Bagi suku kewangan kedua berakhir 30 Jun 2009, keuntungan bersih Public Bank meningkat kepada RM610.74 juta daripada RM593.54 juta sebelumnya, manakala pendapatan susut sedikit kepada RM2.35 bilion daripada RM2.52 bilion. Tay berkata, jumlah pinjaman kasar kumpulan meningkat 7.2 peratus pada separuh pertama tahun ini, manakala kualiti aset pula kekal kukuh dengan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) bersih berada di bawah paras satu peratus. Beliau berkata, buat kali pertama jumlah aset kumpulan melepasi paras RM200 bilion, iaitu RM204 bilion setakat akhir Jun 2009. Jumlah pinjaman dan pendahuluan pula, mengukuh RM8.7 bilion atau 7.2 peratus kepada RM129.4 bilion, mengatasi dengan ketara industri perbankan iaitu 1.2 peratus bagi tempoh lima bulan pertama 2009.
"Pinjaman bagi pembiayaan kediaman, kenderaan penumpang dan perniagaan kecil dan sederhana, menyumbang 77 peratus daripada jumlah pinjaman RM129.4 bilion setakat akhir Jun. "Deposit pengguna menambah 11.5 peratus dalam enam bulan pertama 2009 kepada RM125.3 bilion berbanding industri perbankan iaitu 2.9 peratus dalam tempoh lima bulan pertama 2009," katanya. Sementara itu, Tay berkata, kumpulan menjangka dapat mencapai sasaran pertumbuhan pinjaman 14 hingga 15 peratus bagi 2009. Katanya, pertumbuhan pinjaman itu dijangka disokong oleh permintaan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peningkatan dalam pinjaman perumahan. "Kami menjangka dapat mencapai sasaran ini berdasarkan kepada prestasi separuh pertama," katanya. Mengenai prospek masa depan, beliau berkata meskipun ekonomi yang perlahan, industri perbankan di Malaysia terus berdaya tahan, disokong oleh permodalannya yang kukuh, kualiti aset stabil dan amalan pengurusan risiko bertambah baik. Justeru itu, kumpulan meneruskan strategi pertumbuhan perniagaan organik yang kukuh serta mengekalkan portfolio pinjaman berkualiti tinggi dan menambah baik produktiviti, katanya. "Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, kumpulan menjangka terus mencatatkan prestasi memuaskan bagi baki tempoh selebihnya 2009," katanya.



